Soalan 1: Adakah udara di negara kita bersih? Jawapan. Terlalu bersih? Amat bersih? Memang bersih? Bersih? Agak bersih? Bolehlah...? Tidak bersih? Teruk? Kotor? Bau najis? !@#$%?
Soalan 2: Sejauh manakah usaha kita untuk memastikan tahap kualiti udara yang kita sedut setiap hari bersih serta tidak tercemar dengan asap, debu dan sebagainya. Jawapannya? Banyak? Sederhana? Biasa saja? “Gitu-gitu je”? Sedikit? Atau tiada langsung.
Soalan 3: Siapakah yang bertanggungjawab dalam memastikan kualiti udara di negara kita bersih? Jawapan. Pihak Berkuasa? Agensi-agensi yang berkenaan? Jabatan Alam Sekitar? Puspakom? JPJ? Orang awam? Atau semua orang.
Jawapan untuk soalan 1, 2 dan 3: Udara di Malaysia sememangnya bersih. Tetapi bukan di semua tempat. Bersih di kawasan pendalaman, di kampung-kampung terpencil, di dalam hutan, di kawasan pergunungan serta bukit-bukau tetapi bukannya di kawasan bandar atau di mana kadar kepadatan penduduknya tinggi. Kenapa ya? Sebab di sinilah proses pembangunan pesat berlaku. Pembangunan dari segi sosial serta ekonomi. Seteruk mana yang dikatakan udara kita tercemar? Mari kita tonton klip video ini.
Sudah? Memang selalu kita lihat fenomena seperti ini dan sudah menjadi perkara biasa. Adakah ini harus menjadi perkara biasa bagi kita atau kita yang tidak peka? Atau sudah malas nak komplen. Kalau di negara barat, kenderaan tersebut sudah tidak berhak untuk bergerak di jalanraya.
Ini sudah menunjukkan betapa tidak prihatinnya kita dalam menjaga kebersihan udara dari tercemar. Siapakah “kita”? “Kita” di sini merujuk kepada semua orang daripada peringkat atas iaitu pihak berwajib kepada badan-badan kerajaan yang berkenaan sehinggalah kepada orang awam yang tidak berkenaan. Kenapa orang awam juga terlibat? Kerana orang awam seharusnya berhak menentukan siapa yang berwajib. Jika yang berwajib tidak menjalankan kewajipan dengan sempurna, orang awam berhak menyingkirkan pihak yang berwajib untuk digantikan dengan pihak berwajib yang lebih bertanggungjawab. Sekurang-kurangnya melaporkan perkara-perkara sebegini kepada pihak berwajib. Masalahnya orang awam tidak dapat selalu menghubungi pihak berwajib. Kepada siapa nak dilapur? Kalau dapat dihubungi pun, adakah laporan akan dilayan. Belum tentu. Kita mungkin akan ditendang seperti bola. Jabatan ini akan katakan yang jabatan itu bertanggungjawab. Jabatan itu pula akan katakan jabatan lain pula bertanggungjawab. Bagaikan nak melepaskan tanggungjawab. Dan akhirnya, tiada tindakan diambil.
Adakah orang awam benar-benar didedahkan kepada barisan pihak berwajib? Mungkin ada segelintir. Lihat gambar-gambar di bawah ini pula.
Kalau begitu bagaimana hendak menyekat secara langsung keadaan sebegini daripada berlaku? Mudah sahaja, pihak berwajib sudah menggajikan penjawat-penjawat awamnya untuk menjalankan tugas. Jadi, jalankan tugas. Siapa penjawat awam? Penjawat awam bermula daripada badan-badan atau agensi kerajaan seterusnya kepada kakitangannya contohnya PUSPAKOM, JABATAN PENGANGKUTAN JALAN, dan JABATAN ALAM SEKITAR.
Kita semua sedia maklum untuk satu jangkamasa tertentu kenderaan tertentu harus menjalani pemeriksaan sebelum mendapat kelulusan untuk dipandu di atas jalanraya. Dalam ertikata lain, kenderaan tersebut harus bebas daripada kerosakan yang dapat membahayakan pemandu mahupun orang lain. Apakah asap tebal yang dikeluarkan lori tersebut tidak bahaya? Untuk jangka pendek, sesiapa yang menyedutnya mungkin tidak mati serta merta. Tetapi kalau kebanyakan lori berkeadaan seperti itu, dalam jangka panjang ramai daripada kita yang mendapat barah paru-paru. Jadi bagaimana lori yang melepaskan asap tebal seperti di atas mendapat kelulusan untuk dipandu? Bukan satu yang kita lihat keadaan begini tetapi beribu buah kenderaan seperti ini yang kita lihat setiap hari samada van, lori mahupun bas termasuk pengangkutan awam yang kita naiki setiap hari. Siapa ambil peduli? Tak siapa peduli.
Nak dikatakan kakitangan kerajaan seperti JPJ tidak mencukupi untuk membuat operasi membenteras, saya rasa tidak. Kakitangan cukup. Rondaan dibuat dan sekatan juga dibuat. Tetapi anehnya kalau ada sekatan jalanraya (bukannya selalu) di suatu-suatu tempat, kenderaan bermasalah seperti di atas tidak melalui jalan yang dibuat sekatan. Pandai ya pemandu-pemandu ni. Sebenarnya bukan pemandu yang pandai, tetapi pemilik-pemilik kenderaan tersebut yang bijak. Tentu ada formula yang digunakan oleh pemilik-pemilik ini supaya kenderaan mereka tidak kelihatan. Nampaknya ada “skrew” longgar yang harus diketatkan di sini.
Kita tidak sebenarnya berusaha langsung untuk meningkatkan kualiti kebersihan udara kita. Sebaliknya memburukkan lagi keadaan. Kalau ada pun yang kita usahakan hanyalah sekadar melepaskan batuk di tangga. Kalau buat pun nampaknya seperti sekadar untuk mengaburi mata orang awam. Kenderaan yang bermasalah seperti ini seharusnya disekat daripada mendapat kelulusan.
Dan yang paling penting, kakitangan pihak berwajib seharusnya menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab. Ini amanah. Amanah itu amat berat untuk dipikul dan sukar untuk dijawab apabila berhadapan dengan Allah di Hari Pembalasan kelak. Daripada keadaan menjadi lebih buruk, sebaik-baiknya kakitangan yang tidak bertanggungjawab dan tidak memegang amanah seelok-eloknya disingkirkan.
Apa lagi yang boleh dibuat untuk menyegarkan udara? Tanam pokok banyak-banyak. Jadikan banyak taman. Asal ada saja kawasan lapang atau kosong, baik buat taman. Setidak-tidaknya daripada tempat tersebut menjadi sarang aedes, dapat juga warga Malaysia jadikan tempat berehat dengan udara yang (agak) segar. Kita semua tahu, CO² amat diperlukan oleh tumbuhan dalam proses menghasilkan makanan. Sebagai ganti, O² akan terhasil. Sebenarnya banyak lagi kaedah atau usaha untuk menjaga kualiti udara. Cuma hendak atau tidak.
Dalam artikel ini, kita hanya membincangkan mengenai pencemaran oleh kenderaan seperti lori dan bas. Namun begitu masih banyak lagi penyumbang-penyumbang terhadap pencemaran udara yang boleh dibincangkan seperti kilang-kilang, pembakaran terbuka oleh para peladang tebu dan padi serta banyak lagi. Malah kalau nak dibincangkan mengenai topik pencemaran sahaja, skopnya terlalu luas. Ini termasuklah pencemaran air, sisa buangan toksik, perlupusan sampah sarap yang tidak diuruskan dengan sempurna dan berbagai lagi.
Oleh: Dakwat Putih
(0) Comments
Leave a Response